KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan yang mengakibatkan wanita mengandung maut dalam kejadian di Kilometer 23 Sitiawan - Teluk Intan berhampiran Ladang Arcadia, Sitiawan. FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan yang mengakibatkan wanita mengandung maut dalam kejadian di Kilometer 23 Sitiawan - Teluk Intan berhampiran Ladang Arcadia, Sitiawan. FOTO Ihsan Bomba
Noor Hidayah Tanzizi


WANITA hamil 26 minggu maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 23 Sitiawan - Teluk Intan berhampiran Ladang Arcadia di Sitiawan, hari ini.

Difahamkan, mangsa Noraini Nasri, 31, menghembuskan nafas terakhirnya di wad kecemasan Hospital Seri Manjung (HSM) pada 6.05 petang ketika sedang mendapatkan rawatan.

Mangsa yang menaiki Toyota Avanza bersama bersama suami dan tiga anaknya iaitu seorang lelaki dan dua perempuan berusia lingkungan tujuh hingga 10 tahun terbabit kemalangan dengan dua kenderaan lain termasuk Hyundai Elantra dan Toyota Vios, 3.45 petang tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintendan Chong Bhoo Khim berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada 3.50 petang yang membabitkan 14 mangsa.

“Mangsa yang maut seorang wanita yang juga penumpang belakang Toyota Avanza menaiki kenderaan itu bersama empat lagi individu lain iaitu dua lelaki dan dua perempuan yang semua mereka turut cedera.

“Kenderaan itu dikatakan dalam perjalanan dari arah Teluk Intan menghala ke Sitiawan.

“Hyundai Elantra pula dinaiki tiga individu membabitkan seorang lelaki dan dua perempuan, manakala Toyota Vios dinaiki tiga lelaki dan tiga perempuan dan semua mereka tidak cedera,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 3.48 petang sebelum sepasukan anggota ke lokasi.

“Tiada mangsa yang tersepit dan semua mangsa diberi rawatan awal di tempat kejadian dan mangsa yang cedera dibawa ke hospital menaiki ambulans KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan APM (Angkatan Pertahanan Awam).

“Ketua Operasi mengarahkan anggota mencuci jalan menggunakan air dari tangki jentera sebelum operasi tamat pada 4.54 petang,” katanya.

Difahamkan, polis masih menunggu laporan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Disember 2018 @ 9:55 PM