Skip this ad x
M Hifzuddin Ikhsan dan Petah Wazzan Iskandar


JENAZAH Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, selamat tiba di padang Sekolah Kebangsaan Kampung Tebengau, Kuala Kedah, pada 10.35 pagi hari ini.

Penerbangan menggunakan helikopter MI17-IV milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pada 8.50 pagi itu turut membawa ibu bapa Muhammad Adib, ahli keluarga dan tunangnya.

Tinjauan mendapati hampir 1,000 penduduk sekitar memenuhi kawasan padang bagi melihat sendiri ketibaan jenazah yang dibawa secara istiadat kebombaan.

Jenazah yang diuruskan mengikut istiadat kebombaan di mana seramai 200 anggota dan pegawai berpakaian uniform lengkap bersongkok akan mengiringi sehingga ke rumah ibu bapanya di Kampung Tebengau Tepi Laut, Kuala Kedah untuk penghormatan terakhir.


ANGGOTA bomba mengusung jenazah Muhammad Adib sejurus tiba di Kuala Kedah, hari ini. FOTO Petah Wazzan Iskandar

Selepas penghormatan terakhir selesai, jenazah dijangka akan dikebumikan selepas solat Zohor di Masjid As Saadah, Kuala Kedah, yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah keluarga Allahyarham.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Mohammad Mentek, Ketua Pengarah JBPM Datuk Mohammad Hamdan Wahid serta Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh.

Lagi berita berkaitan Allahyarham Muhammad Adib

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Disember 2018 @ 10:46 AM