RUMAH teres dua tingkat pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terbakar di Taman Setia Tropika, Seri Kembangan. FOTO Ihsan Bomba
Nor Azizah Mokhtar


POLIS menafikan wujud sebarang unsur khianat dalam kes kebakaran rumah teres dua tingkat milik pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Taman Setia Tropika, Seri Kembangan, semalam.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab Rashid Ab Wahab berkata, pemeriksaan sudah dibuat oleh pasukan forensik bomba dan mendapati tidak wujud sebarang unsur khianat.

“Kebakaran disahkan berpunca daripada masalah litar pintas dan tiada kaitan dengan perbuatan khianat.

“Kes ini disiasat sebagai laporan kebakaran sahaja,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

NSTP sebelum ini melaporkan sumber sebagai berkata ketika kejadian, pegawai kanan berkenaan sedang bertugas di ibu pejabat SPRM manakala anak dan isterinya berada di kampung.

Menurut sumber itu lagi, kebakaran bermula dari bumbung rumah dan tidak menolak kemungkinan kejadian berpunca perbuatan khianat berikutan mangsa bertugas di bahagian siasatan SPRM.

Kebakaran disedari pada 2.35 petang dan dua jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Serdang dan Puchong bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima laporan kebakaran pada 2.37 petang.

Kebakaran menyebabkan hampir 80 peratus bahagian tingkat atas rumah teres itu musnah terbakar.

Berita berkaitan

Disyaki angkara khianat...?

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Disember 2018 @ 10:47 PM