JENTERA pilihan raya Barisan Nasional (BN) Pahang sudah diarah bersiap-sedia bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands pada 26 Januari ini.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, mereka sudah bersiap-sedia sejak keputusan dibuat oleh Mahkamah Pilihanraya mengenai kerusi Parlimen itu lagi.

“Menerusi pengumuman SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) hari ini, jentera kita akan diperkemaskan lagi kesiap-sagaannya,” katanya dalam kenyataan media di Kuantan , hari ini.

Wan Rosdy mengulas mengenai pengumuman Pengerusi SPR, Azhar Harun yang menetapkan PRK Parlimen Cameron Highlands

penamaan calon pula ditetapkan pada 12 Januari ini manakala tarikh mengundi awal ditetapkan pada 22 Januari.

Seramai 32,009 pemilih layak mengundi bagi PRK itu mengikut daftar pemilih sehingga suku ketiga 2018 yang dikemaskini pada November lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), calon Barisan Nasional (BN), Datuk C Sivarraajh memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands dalam saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi.

Sivarraajh memperoleh 10,307 undi, menewaskan empat calon lain termasuk calon DAP M Manogran yang meraih 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud (PAS - 3,587 undi); Mohd Tahir Kassim (Berjasa - 81 undi) dan B Suresh Kumar (PSM - 680 undi).

Manogaran, 59, memfailkan petisyen pilihan raya pada 4 Jun lalu dengan memohon pengisytiharan bahawa keputusan PRU-14 untuk kerusi Parlimen Cameron Highlands terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pada 30 November lalu, Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada PRU-14 adalah terbatal dan tidak sah selepas memutuskan berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Disember 2018 @ 6:38 PM