ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat pemandu lori yang tersepit di bahagian depan tempat duduk selepas lori dipandu terbabit kemalangan di Jalan Salak berhampiran pasar raya Giant Taman Connought. FOTO NSTP
ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat pemandu lori yang tersepit di bahagian depan tempat duduk selepas lori dipandu terbabit kemalangan di Jalan Salak berhampiran pasar raya Giant Taman Connought. FOTO NSTP
Mohd Azam Shah Yaacob


PEMANDU lori maut manakala penunggang motosikal patah tangan dan kaki dalam kemalangan di Jalan Salak berhampiran pasar raya Giant Taman Connought kira-kira 1 tengah hari, hari ini.

Mangsa, Yee Jun Pin, 25, yang tersepit pada bahagian tempat duduk pemandu disahkan maut oleh pasukan perubatan di tempat kejadian akibat parah pada bahagian kepala dan badan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kemalangan berlaku apabila lori dipandu lelaki berkenaan hilang kawalan dan melanggar motosikal sebelum menghentam pembahagi jalan.

Katanya, akibat pelanggaran itu, mangsa tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dan penunggang motosikal bernasib baik hanya mengalami patah kaki dan tangan.

“Berdasarkan siasatan awal, lori berkenaan dalam perjalanan dari pusat bandar menghala ke Kajang.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di laluan berkenaan, lori dipandu mangsa hilang kawalan dan melanggar motosikal ditunggang seorang lelaki sebelum menghentam penghadang jalan menyebabkan lori itu remuk pada bahagian hadapan dan terbalik,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Muhamad Hafidz Yaacob berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.02 tengah hari mengenai kemalangan membabitkan masing-masing sebuah lori dan motosikal.

Katanya, seramai 19 anggota termasuk seorang pegawai operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheras, BBP Hang Tuah dan BBP Tun Razak dikejarkan dan tiba di lokasi kemalangan 10 minit kemudian.

“Sebaik tiba di lokasi kemalangan, pasukan penyelamat mendapati pemandu lori berada dalam keadaan tersepit serta tidak sedarkan diri, manakala seorang lagi mangsa iaitu penunggang motosikal berusia 34 tahun hanya cedera.

“Mangsa yang cedera dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan bomba mengambil masa kira-kira 20 minit bagi mengeluarkan pemandu lori yang tersepit,” katanya.

Menurut Muhamad Hafidz, mangsa disahkan sudah meninggal dunia sebaik berjaya dibawa keluar dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Disember 2018 @ 7:55 PM