DR Mahathir menandatangani dan seterusnya melancarkan buku bertajuk Malaysia: A New Chapter di Kuala Lumpur, malam tadi. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
Rizanizam Abdul Hamid dan Veena Babulal


PERDANA Menteri belum membuat sebarang keputusan mengenai nasib Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorty walaupun terus mendapat desakan memecatnya daripada rakyat dan ahli parti sendiri.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, rakyat boleh meluahkan sebarang pandangan, namun keputusan mutlak berada di tangannya.

“Rakyat boleh luahkan pendapat tapi ia terpulang kepada saya untuk putuskan.

“Saya belum putuskan lagi (tindakan terhadap Waytha Moorty),” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan buku bertajuk Malaysia: A New Chapter sempena Inaugural The Dr Mahathir Mohamad Leadership Series di Kuala Lumpur, malam tadi.

Ditanya adakah beliau berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan Waytha Moorty, Dr Mahathir berkata: “Saya okay dengan prestasi kerja beliau.”

Sebuah portal berita dalam talian hari ini melaporkan Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) telah menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri bagi menggesa pengguguran Waytha Moorthy sebagai menteri.

Laporan yang memetik sumber dalaman parti menyebut memorandum itu diserahkan di pejabat Dr Mahathir yang juga Pengerusi BERSATU.

Antara sebab dinyatakan mereka bagi menggesa pemecatan Waytha Moorthy adalah beliau selaku menteri bertanggungjawab terhadap soal perpaduan dilihat gagal meredakan ketegangan kaum dalam isu Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, bulan lalu.

Difahamkan Ketua Armada (Sayap Pemuda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut berada di situ ketika penyerahan memorandum dibuat.

Sementara itu, dilaporkan petisyen mendesak Waytha Moorthy meletak jawatan kini ditandatangani lebih 279,156 orang setakat 4 petang semalam.

Petisyen menerusi tandatangan dalam talian Change.org itu dilancarkan bulan lalu atas beberapa faktor dan digerakkan oleh Gerakan Pengundi Sedar (GPS).

Sementara dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berkata, BERSATU tidak sesekali akan diambil alih oleh bekas pemimpin UMNO.

“Tidak mungkin (UMNO) akan ambil alih parti (BERSATU) sehingga pemilihan parti akan datang.

“Dia (Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik) belum diterima sebagai ahli BERSATU, semua orang boleh mohon termasuk anda (wartawan),” katanya.

Ahad lalu, Rahim, 68, mengumumkan keluar UMNO sekali gus mengesahkan menyertai BERSATU.

Borang keahlian diserahkan kepada Ketua Pimpinan BERSATU Melaka yang juga Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Disember 2018 @ 12:01 AM