Shahrinnahar Latib

Kuantan: Persatuan Pemandu Teksi Pahang Timur meminta kerajaan memberikan hak sama rata termasuk syarat dan peraturan kepada semua pemandu teksi sama seperti yang diberi kepada pengusaha perkhidmatan e-hailing seperti Grab.

Timbalan Yang Dipertuanya, Roslan Ghazali berkata, banyak syarat yang diberi kelonggaran kepada pengusaha e-hailing namun sebaliknya pemandu teksi terpaksa mengikut peraturan dan undang-undang ditetapkan oleh kerajaan.

“Antaranya ialah pemandu teksi perlu memiliki kad memandu, pemeriksaan kesihatan, insurans dan banyak lagi prosedur yang perlu dipenuhi sebelum mendapat kelulusan membawa teksi berbanding perkhidmatan e-hailing.

“Bagi teksi, untuk kenderaan baharu perlu masuk PUSPAKOM sebelum boleh mengambil penumpang, namun Grab pula boleh guna kenderaan persendirian tanpa perlu melalui pemeriksaan PUSPAKOM,” katanya di sini, semalam.

Sebelum itu, kira-kira 50 pemandu teksi mengadakan perhimpunan aman bagi menyatakan sokongan terhadap kepemimpinan Gabungan Teksi Se-Malaysia menuntut hak kesamarataan atau keadilan dapat diwujudkan dalam situasi menang-menang dalam industri perkhidmatan pengangkutan.

Beliau berkata, pihaknya sebelum ini pernah memohon kerajaan untuk menyediakan satu aplikasi khusus untuk perkhidmatan teksi seperti yang digunakan pengusaha e-hailing.


AHLI Persatuan Pemandu-Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Pahang Timur mengadakan bantahan aman di Hentian Teksi Jalan Mahkota.

“Kami ada minta dengan kerajaan terdahulu di bawah Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) satu aplikasi untuk teksi tetapi jawapan yang kami terima, kosnya terlalu tinggi.

“Agak pelik juga dengan jawapan yang diberikan pihak kerajaan kerana pihak swasta mampu untuk buat aplikasi ini tetapi kerajaan tidak mampu,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha persatuan berkenaan, Mohd Yasin Idris berkata, syarat pengendalian kenderaan yang tidak sama rata dengan perkhidmatan e-hailing boleh membunuh industri teksi di negara ini.

Beliau berkata, wujud ketidaksamarataan dalam syarat ditetapkan kerajaan yang dilihat memberi keutamaan dan kelonggaran kepada pengusaha e-hailing berbanding perkhidmatan teksi.

“Kerajaan sentiasa memberi keutamaan dan kelonggaran kepada Grab sedangkan dalam keadaan sama, kami tetap perlu mengikut syarat yang ada. Kami nampak daripada segi syarat diberikan ini boleh membunuh kita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Disember 2018 @ 11:32 AM