Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@nstp.com.my


“BETUL, betul.” Hanya itu reaksi orang kurang upaya (OKU) lembam Mohd Yusnaidi Mohd Yunus, 34, apabila pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya di Mahkamah Majistret Tampin, hari ini.

Tertuduh yang didakwa membuat panggilan ancaman bom di Hospital Tampin pada minggu lalu, dihadapkan ke mahkamah sebaik tempoh reman selama enam hari tamat.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menakutkan dengan cara menyembunyikan namanya dan membuat panggilan kepada Nor Zuzainni Jamaluddin, 38, di Hospital Tampin.

Perbuatan terbabit dilakukan jam 5.50 pagi, 14 Disember lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fuad Ramlan turut mengemukakan laporan perubatan pesakit psikiatri dari Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) dan meminta mahkamah merujuk tertuduh ke hospital bagi mendapatkan laporan perubatan.

Majistret Tan Chai Wei kemudian memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Permai, Johor Bahru untuk pemerhatian mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah dan menetapkan 24 Januari depan untuk laporan perubatan.


ANGGOTA polis mengiringi tertuduh (tengah) di Mahkamah Majistret Tampin, hari ini. FOTO Hasriyashah Sabudin

Dalam kejadian jam 5.50 pagi itu, seramai 120 pesakit dan 50 kakitangan Hospital Tampin, cemas apabila mereka menerima panggilan bom palsu daripada lelaki yang tidak dikenali.

Sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin, Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Pengesan Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan yang ke lokasi melakukan pemeriksaan tidak menemui sebarang objek mencurigakan.

Susulan kejadian itu, polis berjaya mengesan suspek dan menahannya di sebuah rumah di Taman Dato Lela Maharaja, Chembong, Rembau, pada 10.45 malam hari sama.

Berita berkaitan

'Sejenis hobi, agaknya...'

Hospital Tampin terima panggilan bom palsu

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Disember 2018 @ 12:39 PM