LELAKI Indonesia yang menetak mati seorang wanita menggunakan parang dalam stor penyimpanan makanan sejuk beku di sebuah kilang di Kampung Selamat, dekat sini semalam dipercayai masih berada di kawasan Tasek Gelugor. FOTO Ihsan PDRM
Hadzlihady Hassan


POLIS sedang memburu seorang lelaki Indonesia yang menetak hingga mati seorang wanita menggunakan parang dalam kejadian di stor penyimpanan makanan sejuk beku di kilang di Kampung Selamat, Tasek Gelugor, dekat Georgetown, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, siasatan polis mendapati suspek, Jonathan Sihotang yang berusia 31 tahun itu masih berada di sekitar kawasan Tasek Gelugor.

"Berdasarkan kepada siasatan dan juga risikan, kita percaya yang suspek memang masih berada di kawasan Tasek Gelugor dan operasi memburunya kini sedang giat dijalankan.

"Orang ramai yang terserempak suspek itu juga boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Mohd Noor Azman Md Safar di talian 019-5761877," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian 3.50 petang semalam, lelaki warga Indonesia yang bersenjatakan parang mengamuk dan menetak tiga pekerja warga tempatan terdiri daripada seorang wanita berusia 44 tahun, anak lelakinya berusia 14 tahun dan anak saudaranya yang berusia 17 tahun.

Suspek yang dikatakan tidak berpuas hati berhubung soal pembayaran gaji itu tanpa belas kasihan menetak semua mangsa sebelum dia melarikan diri dengan menunggang motosikal Yamaha biru bernombor pendaftaran PBM1524.

Tetakan menggila suspek itu membuatkan mangsa wanita, Sia Seok Kee meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital berikutan parah di kepala, muka dan putus jari.

Difahamkan, suspek sudah setahun bekerja di kilang terbabit yang juga milik abang kepada mangsa yang maut ditetak itu.

Noorzainy ketika ditanya mengenai perkembangan dua lagi mangsa berkata, mereka kini masih dirawat di hospital, namun keadaan kedua-duanya dilaporkan stabil.

Berita berkaitan

Mengamuk tetak sampai mati

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Disember 2018 @ 3:02 PM