P Ramasamy dan Syed Saddiq (gambar kecil). FOTO arkib NSTP
Audrey Dermawan


TIMBALAN Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy menyelar Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, susulan tuntutan sayap parti itu yang mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy meletak jawatan.

Ramasamy berkata, tindakan itu ‘menghina’ kebijaksanaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berikutan Waytha Moorthy yang dilantik dan bukan terdiri daripada ahli Pakatan Harapan (PH).

“Itu adalah pilihan Dr Mahathir. Saya tidak faham mengapa pemuda BERSATU mahu Waytha Moorthy letak jawatan melalui memorandum yang turut disertai Syed Saddiq.

“Mungkin seseorang perlu bertanya adakah beliau patut menjadi sebahagian daripada delegasi (penyerahan memorandum), tambahan pula ia adalah penghinaan kepada Dr Mahathir kerana beliau yang melantik Waytha Moorthy.

“Dalam maksud lain, ARMADA BERSATU mempersoalkan keputusan Pengerusi partinya sendiri. Untuk itu, pemimpin ARMADA BERSATU itu perlu diambil tindakan,” katanya menerusi laman Facebook (FB), hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan Syed Saddiq yang didakwa dalang dalam penyerahan memorandum bagi mendesak Waytha Moorthy meletak jawatan, bersama tiga lagi Exco ARMADA BERSATU kepada Dr Mahathir, semalam.

Bagaimanapun, sumber memberitahu NSTP, Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan hanya menjadi ‘pemudah cara’ bagi beberapa rakannya untuk menghantar terus memorandum berkenaan kepada Dr Mahathir.

Penyerahan memorandum itu antara desakan dan tuntutan selepas Waytha Moorthy dikatakan gagal meredakan ketegangan kaum dalam insiden kekecohan di kuil Sri Maha Mariamman, Seafield dekat Subang Jaya.

Waytha Moorthy turut menyalahkan polis selain belum mengemukakan permohonan maaf berhubung video lama yang tular apabila mendakwa kaum India di diskriminasi di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Disember 2018 @ 5:43 PM