Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


SATU guni mengandungi syiling berjumlah lebih RM1,500 antara barang dirampas pada seorang lelaki yang terbabit dalam beberapa siri pecah masuk kediaman apabila ditahan berhampiran sebuah bank di Taman Semarak, Nilai, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, dalam kejadian 1.15 pagi itu, sepasukan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) menjalankan operasi cegah jenayah sebelum terserempak sebuah kereta Proton Saga yang mencurigakan.

Katanya, polis menahan suspek berusia 44 tahun, namun rakannya berusia 20-an sempat melarikan diri.

“Pemeriksaan dalam kenderaan mereka menemui sebuah beg sandang mengandungi wang tunai berjumlah RM4,057.

“Polis turut menemui seguni syiling bernilai RM1542.35. Pada masa sama, polis merampas 119 kotak rokok pelbagai jenama serta satu peket plastik mengandungi dadah dan alat menagih dadah di bawah lapik kaki sebelah pemandu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Balai Polis Nilai, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis daerah Deputi Superintendan Azrul Hisham Mohd Shaffie.


SUPERINTENDAN Mohd Nor Marzukee Besar. Hazreen Mohamad

Menurut Mohd Nor Marzukee, pemeriksaan mendapati kereta itu dicuri di Shah Alam dan menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Polis percaya suspek adalah penjenayah yang melakukan pecah masuk kediaman di daerah (Nilai) ini terutama di Taman Semarak. Pihak polis masih memburu rakan suspek yang melarikan diri bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan maklumat, rakan suspek yang melarikan diri memiliki lima rekod jenayah termasuk curi, pecah rumah, cabul dan menghalang tugas penjawat awam.

Katanya, aringan ujian air kencing ke atas suspek yang diberkas mendapati dia posif dadah dan direman tujuh hari bermula semalam hingga 25 Disember ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan beserta Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Disember 2018 @ 6:09 PM
ANTARA barang yang bernilai RM50,000 dirampas daripada suspek. Foto HAZREEN MOHAMAD