Nur Izzati Mohamad


LELAKI yang menetak mati seorang wanita menggunakan parang dalam stor penyimpanan makanan sejuk beku di sebuah kilang di Kampung Selamat, Tasek Gelugor, kelmarin akhirnya ditahan polis, awal pagi hari ini.

Penahanan suspek warga Indonesia itu dibuat kira-kira jam 3.30 pagi dalam serbuan di sebuah kolam renang dekat Petaling Jaya, Selangor.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Seri A Thaiveegan berkata, suspek berusia 31 tahun itu ditahan melalui hasil koordinasi membabitkan Bahagian Operasi Khas D8 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan Pinang Pinang serta pasukan serbuan D9 Selangor dan Petaling Jaya.

“Menurut suspek, dia datang ke Selangor menaiki sebuah teksi dari Pulau Pinang ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) sebelum pergi ke sebuah pangsapuri di Petaling Jaya.

“Hasil soal siasat, suspek yang juga seorang pemotong daging mengaku bahawa dia melakukan perbuatan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika mengadakan Lawatan Kerja di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara, Kepala Batas, hari ini.

Katanya, suspek kini ditahan untuk proses mendapatkan reman dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian jam 3.50 petang itu, suspek yang bersenjatakan parang mengamuk dan menetak tiga pekerja warga tempatan terdiri daripada seorang wanita berusia 44 tahun, anak lelakinya berusia 14 tahun dan anak saudaranya yang berusia 17 tahun.

Suspek yang dikatakan tidak berpuas hati berhubung soal pembayaran gaji itu tanpa belas kasihan menetak semua mangsa sebelum melarikan diri dengan menunggang motosikal.

Tetakan menggila suspek itu membuatkan mangsa wanita, Sia Seok Kee meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital berikutan kecederaan teruk dialaminya di kepala, muka dan putus jari.

Difahamkan, suspek sudah setahun bekerja di kilang terbabit yang juga milik abang kepada mangsa yang maut ditetak itu.

Dua mangsa yang cedera kini masih dirawat di hospital dan keadaan kedua-duanya dilaporkan stabil.

Berita berkaitan

Polis buru suspek kes tetak

Mengamuk tetak sampai mati

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Disember 2018 @ 12:36 PM
ANGGOTA polis membawa suspek (dua kanan) untuk membantu siasatan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara, Kepala Batas, hari ini. Foto NUR IZZATI MOHAMAD