NUR Izuana menghilangkan diri sejak Rabu lalu. FOTO Ihsan Keluarga
NUR Izuana menghilangkan diri sejak Rabu lalu. FOTO Ihsan Keluarga
Nurul Hidayah Bahaudin


SEORANG wanita yang bakal menaiki jenjang pelamin pada Ahad ini hilang selepas keluar dari rumah keluarganya di Kampung Pandan, Kuala Lumpur sejak Rabu lalu.

Chef pastri Nur Izuana Atikah Mohd Ridzuan, 22, sebelum itu didakwa mahu berjumpa rakannya di Bangsar untuk mengedarkan kad jemputan perkahwinan.

Bapanya Mohd Ridzuan Makip, 47, berkata pada hari kejadian, dia sendiri menghantar Nur Izuana ke Stesen LRT (Transit Aliran Ringan) Setiawangsa untuk bertemu rakannya.

“Kira-kira jam 3 petang (hari sama), saya cuba menghubunginya, namun telefon bimbitnya dimatikan. Ketika itu, saya tidak mengesyaki apa-apa lagi kerana beranggapan bateri telefon bimbitnya mungkin tiada.

“Bagaimanapun, saya bertambah cemas apabila usaha menghubunginya selepas waktu Maghrib, Rabu lalu hingga tengah malam, masih gagal sebelum kami membuat laporan di Balai Polis Hulu Kelang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, dia mengesyaki kehilangan Nor Izuana berkemungkinan ada kaitan dengan seorang lelaki berusia 20-an yang pernah berkawan dengan anak sulung daripada lima beradik itu.

“Sebelum ini, hubungan anak dengan bakal suami dilihat baik saja sejak mereka bertunang, Januari lalu. Namun, pada Mei lalu, anak memaklumkan dia ‘tawar hati’ dengan tunangnya sebelum saya mendapat tahu dia berkawan rapat dengan lelaki lain.

“Kami (ahli keluarga) ada membawa anak berjumpa dengan ustaz bagi mendapatkan rawatan perubatan secara Islam.

“Selepas rawatan itu, dia kelihatan ‘pulih’ dan bersetuju untuk meneruskan perkahwinan dengan tunangnya,” katanya yang memaklumkan anak perempuannya itu tidak pernah bertindak sedemikian sebelum ini.

Katanya, dia sudah berbincang dengan ahli keluarga terdekat termasuk keluarga tunang Nur Izuana mengenai majlis perkahwinan mereka yang bakal berlangsung, Ahad ini.

“Besar harapan kami supaya Nur Izuana ditemui dalam keadaan selamat sebelum majlis perkahwinannya, Ahad ini. Seboleh-bolehnya, kami mahu majlis perkahwinan itu berjalan lancar seperti dirancang.

“Namun, sekiranya dia masih belum ditemui, kami terpaksa menangguhkan majlis itu.

“Diharap orang ramai yang ada maklumat mengenai Nur Izuana diminta menghubungi balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Disember 2018 @ 4:19 PM