SIMBOL dan logo Goldman Sachs dipapar di Bursa Saham New York pada 18 Disember lalu. FOTO Reuters
Reuters

KERAJAAN Malaysia menuntut bayaran ganti rugi berjumlah AS$7.5 bilion (RM31.32 bilion) daripada Goldman Sachs Group Inc susulan perjanjian dibuat bersama dana pelaburan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB), lapor Financial Times hari ini, memetik kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Pasukan pendakwa Malaysia minggu ini memfailkan tuduhan ke atas Goldman Sachs ekoran pembabitan syarikat berkenaan sebagai perancang penjualan tiga bon berjumlah AS$6.5 bilion (RM27.16 bilion) untuk 1MDB, iaitu tindakan undang-undang pertama ke atas bank Amerika Syarikat (AS) itu.

Goldman Sachs sebelum ini dengan konsisten menafikan sebarang salah laku dan berkata beberapa anggota kerajaan terdahulu dan 1MDB sendfiri berbohong kepada bank berhubung penjualan bon berkenaan.

Sebagai tambahan kepada nilai keseluruhan bon, Goldman Sachs turut memulangkan AS$1 bilion (RM4.18 bilion) untuk menampung yuran sebanyak AS$600 juta (RM2.5 bilion) yang dibayar kepada bank dan kupon bon dengan nilai lebih tinggi dari pasaran semasa, kata FT memetik Guan Eng sebagai berkata.

Ketiga-tiga bon 10 tahun itu memiliki kupon bernilai antara 4.4 peratus hingga 5.99 peratus.

Guan Eng juga memberitahu FT, ganti rugi itu sekurang-kurangnya perlu melebihi AS$1.8 bilion (RM7.52 bilion), satu nilai yang diberitahu Goldman Sachs kepada pelabur sudah diketepikan untuk menampung kerugian berkaitan proses perundangan 1MDB.

“Jumlah mereka ialah AS$1.8 bilion (RM7.52 bilion). Jumlah kami ialah AS$7.5 bilion (RM31.32 bilion),” kata Guan Eng.

Goldman Sachs tidak dapat dihubungi untuk mengulas mengenai perkara itu.

Bank itu memberitahu FT, “Tawaran bon 1MDB adalah bertujuan mengutip wang untuk kepentingan Malaysia, sebaliknya dana itu dalam jumlah yang besar dicuri untuk faedah peribadi anggota kerajaan Malaysia dan rakan-rakan mereka.”

Malaysia menuntut hukuman penjara dan denda berjumlah bilion ringgit dikenakan ke atas Goldman Sachs dan empat individu yang menggelapkan sejumlah AS$2.7 bilion (RM11.28 bilion) daripada proses bon 1MDB.

Dua bekas pegawai bank Goldman Sachs, Tim Leissner dan Roger Ng adalah antara individu yang didakwa.

Singapura mengambil tindakan mengharamkan Leisssner, bekas pengerusi Bank Asia Tenggara daripada terbabit dalam industri keselamatan negara itu buat seumur hidup selepas mengaku bersalah di AS atas tuduhan berkonspirasi mengubah wang 1MDB dan melanggar Akta Amalan Rasuah Luar Negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Disember 2018 @ 5:25 PM