ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan kaki mangsa yang tersepit di dalam lubang aliran air pada longkang kecil berhampiran kediaman jirannya di Lot 22 Kampung Pasir, Ulu Yam Baru, Hulu Selangor, hari ini. FOTO ihsan bomba.
Nor Azizah Mokhtar


KANAK-KANAK lelaki terpaksa menahan sakit kira-kira sejam selepas sebahagian kaki kirinya tersepit dalam lubang aliran air pada longkang kecil berhampiran kediaman jirannya di Lot 22 Kampung Pasir, Ulu Yam Baru, Hulu Selangor, hari ini.

Bomba yang menerima laporan kejadian pada 5.49 petang menghantar dua jentera termasuk Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bersama tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu ke lokasi kejadian

Pasukan bomba diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Rosdi Shafie mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengeluarkan kaki mangsa berusia lapan tahun itu yang terperangkap dari paras buku lali pada saluran Polyvinyl Chloride (PVC) itu.

Difahamkan, kanak-kanak berkenaan sedang bermain sebelum tergelincir dan kakinya termasuk ke dalam saluran PVC pada longkang itu.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata, anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk memecahkan longkang berkenaan bagi mengeluarkan kaki mangsa.

“Sebaik kakinya berjaya dikeluarkan, anggota EMRS melakukan pemeriksaan ke atas kaki kanak-kanak terbabit.

“Mangsa disahkan hanya mengalami kecederaan ringan dengan sedikit lebam dan calar sebelum diserahkan kepada keluarganya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Disember 2018 @ 11:01 PM