JENAZAH Sheikh Abd Jalil dibawa keluar dari Hospital Segamat untuk dikebumikan di Tanah Wakaf Kampung Paya Dalam, Segamat, malam tadi. FOTO Ahmad Ismail.
Ahmad Ismail


SHEIKH Abd Jalil Sheikh Abd Ghaffor iaitu suami kepada Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail, meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Segamat, petang semalam.

Allahyarham yang berusia 73 tahun menghembuskan nafas terakhir pada 5.11 petang.

Menurut anak ketiganya, Nurshafeena, 35, Allahyarham yang juga seorang jurutera mekanikal dimasukkan ke wad di hospital berkenaan sejak awal November lalu.

“Saya sempat berada di sisi arwah petang tadi dengan emak. Sejak arwah dimasukkan ke hospital, kami kerap mengadakan majlis bacaan Yasin di rumah dekat Kampung Tahang Rimau di Segamat.

“Arwah ayah hanya memahami bahasa badan untuk berkomunikasi kerana beliau ada permasalahan di bahagian kerongkongnya dan setiap kali ditanyakan ingin pulang ke rumah, beliau akan menganggukkan kepalanya tanda reda,” katanya ketika ditemui pada majlis pengebumian Allahyarham di Tanah Wakaf Kampung Paya Dalam di Segamat.

Kira-kira 350 ahli keluarga dan kenalan hadir di majlis pengebumian Allahyarham termasuk Natrah.

Terdahulu, berita mengenai kematian Allahyarham dimaklumkan Pegawai Khas Ahli Parlimen Sekijang, Mohamad Fariz Izwan Mohd Wazir.

Beliau memaklumkan Allahyarham menghidap sakit buah pinggang, jantung dan paru paru.

“Suami kepada Yang Berhormat (YB) Natrah Ismail meninggal dunia pada 5.11 petang dan akan dikebumikan pada malam ini.

“Beliau menghidap sakit buah pinggang, jantung dan paru paru. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan yang beriman,” katanya menerusi kiriman WhatsApp kepada NSTP, semalam.

Jenazah Allahyarham yang meninggalkan seorang balu dan enam anak itu dikebumikan pada 10 malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Disember 2018 @ 12:22 AM