PTPTN. FOTO Arkib NSTP
Rosli Ilham
cnews@nstp.com.my


PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memerlukan masa enam bulan untuk menyiapkan draf pembayaran balik pinjaman PTPTN sebelum dibentangkan kepada Kabinet untuk kelulusan.

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, pihaknya kini sedang giat mendapatkan maklumat yang berkaitan.

Menurutnya, pihaknya sedang mengadakan perjumpaan dengan pelbagai pihak termasuk pemimpin masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkepentingan lain untuk mendapat maklumat.

“Langkah ini diambil supaya pelaksanaan kaedah baharu itu kelak adil, tidak menimbulkan polemik serta mengambil kira semua aspek kebajikan peminjam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Sumbangan Pakaian Sekolah kepada 1,000 penerima di Dewan Aspirasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Dungun, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Malaysia Terengganu, Datuk Razali Idris.

Wan Saiful berkata, beliau sudah turun ke Kedah, Perlis, Perak dan hari ini di Terengganu untuk mengumpul maklumat berkaitan PTPTN.

“Kita turun untuk berjumpa semua ‘stakeholder’ (pemegang taruh) di peringkat akar umbi untuk mendapatkan maklumat.

“Kita akan dengar semua pandangan yang diberi berhubung penambahbaikan (skim bayaran balik) yang akan dilaksanakan nanti.

“Rumusan kepada ‘input’ akan mengambil masa paling awal enam bulan untuk disiapkan,” katanya.

Katanya, pihaknya turut memberi jaminan pandangan serta cadangan daripada semua pihak itu akan diambil kira dalam kajian itu.

“Sebelum ini, kita terpaksa menghantar cadangan penambahbaikan itu (skim bayaran balik) dengan tergesa-gesa dalam tempoh 100 hari untuk mengejar janji manisfesto,” katanya.

Wan Saiful berkata, keadaan itu menyebabkan berlaku kekangan masa dan skim bayaran balik yang cuba dilaksanakan pada 5 Disember lalu terpaksa ditangguhkan apabila mendapat bantahan rakyat.

“Kita berjanji akan memperkenalkan kaedah pembayaran balik terbaik tanpa menyusahkan mana-mana pihak, “katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Disember 2018 @ 6:15 PM