STATUS yang tular di media sosial.
Mohd Azam Shah Yaacob


WANITA yang menggunakan perkhidmatan rel di ibu negara dinasihatkan untuk berhati-hati agar tidak menjadi mangsa lelaki gila seks yang mengambil kesempatan melakukan perbuatan tidak senonoh ketika berasak-asak di dalam tren dinaiki, terutama pada waktu puncak. 

Terbaru, seorang wanita berkongsi kejadian dia terserempak kembali dengan seorang lelaki yang pernah dilihat melakukan perbuatan tidak senonoh pada seorang penumpang wanita lain dalam kejadian beberapa bulan lalu ketika menaiki perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT). 

Menerusi 'ciapan' di akaun Twitter semalam, wanita berkenaan turut memuat naik gambar yang dikatakan sebagai seorang lelaki berpakaian perempuan dengan mengenakan tudung serta berbaju kurung. 

Dalam 'posting' itu, wanita itu mendakwa individu berkenaan pernah melakukan gangguan seksual pada seorang wanita lain ketika berhimpit-himpit dalam koc wanita. 

Sementara itu, jurucakap syarikat Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) berkata, tiada kejadian sedemikian berlaku di dalam tren LRT, seperti posting yang tular di media sosial. 

Katanya, kejadian itu sebaliknya berlaku dalam tren yang disediakan pengendali perkhidmatan rel lain. 

“Kita sudah membuat semakan dan mendapati kejadian itu tidak berlaku dalam koc LRT sebaliknya ia berlaku di dalam koc milik perkhidmatan rel lain," katanya ketika dihubungi, hari ini. 

Sementara itu, hasil semakan mendapati gangguan seksual di dalam tren antara isu dihadapi wanita yang menggunakan perkhidmatan rel untuk menjalankan rutin harian termasuk berulang-alik dari tempat kerja. 

Pada 26 Oktober lalu, seorang lelaki tempatan ditahan selepas melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita di dalam ketika berada dalam tren LRT. 

Pada 27 Ogos tahun lalu pula, seorang wanita menjadi mangsa lelaki gila seks yang meraba bahagian punggungnya dan memegang pinggulnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Disember 2018 @ 8:58 PM