YEE (tengah) pada majlis perkahwinan anak kembarnya yang berlangsung serentak dengan majlis pertemuan bersama bekas anak muridnya.
Norizuan Shamsuddin

Kuala Lumpur: “Majlis perkahwinan dua anak saya menjadi penyatuan buat kami apabila saya dapat bertemu kembali bekas pelajar saya selepas lebih 40 tahun terpisah.

“Lebih mengujakan apabila majlis perkahwinan itu diatur bekas pelajar mengikut adat Melayu.

“Pasti menjadi pengalaman berharga buat anak terutama menantu yang berasal dari Hanoi, Vietnam apabila merasai adat perkahwinan yang diamalkan masyarakat Melayu di negara ini,” kata Yee Sew Huang, 63, ibu dua pasangan kembar, Lee Aik Oui dan Lee Aik Sern yang masing-masing berusia 30 tahun.

Dua beradik itu melangsungkan majlis perkahwinan serentak mengikut adat Melayu di Bandar Baru Selayang, Selasa lalu.

Pesara guru itu berkata, majlis terbabit diatur 150 bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Pegang, Baling, Kedah sebagai kejutan untuk keluarganya demi membalas jasanya sebagai bekas guru mereka.


PASANGAN pengantin diraikan dengan acara makan beradab diiringi persembahan silat dan kompang.

“Saya mengajar di sekolah berkenaan pada 1974 hingga 1980 sebagai guru mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Sejarah. Selepas itu, saya berpindah ke beberapa sekolah lain sebelum bersara.

“Selepas sekian lama terpisah dengan pelajar sekolah itu, mereka mencari saya dan berhubung menerusi media sosial dengan menubuhkan kumpulan WhatsApp yang mengumpulkan bekas pelajar saya.

“Pada mulanya mereka merancang mengadakan majlis pertemuan dan selepas mengetahui dua anak kembar saya berkahwin, mereka membuat kejutan dengan mengatur majlis perkahwinan berkenaan.


Aik Sern dan isteri Nguyen Thuy Dzung.

“Malah dua anak saya dan pasangan mereka turut gembira apabila berpeluang merasai perkahwinan mengikut adat Melayu dengan memakai busana pengantin lengkap dengan tanjak dan keris.

“Majlis turut dimeriahkan dengan makan beradab, persembahan kompang dan silat,” katanya di sini, kelmarin.


Aik Oui dan isteri Sylvia Choong Kah Yi.

Yee berkata, dia sekeluarga terharu dengan semangat perpaduan dipamerkan bekas pelajarnya.

“Walaupun kebanyakan bekas pelajar saya berbangsa Melayu, mereka tetap hormat guru yang mengajar mereka meskipun berlainan bangsa dan agama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Disember 2018 @ 6:12 AM