Hadzlihady Hassan


LELAKI warga Myanmar ditemui maut akibat ditikam rakan senegara selepas bergaduh di rumah dua tingkat di Jalan Siam, Georgetown, hari ini.

Dalam kejadian yang hanya disedari pada 10 pagi itu, mayat mangsa Maung Soe Than, 29, ditemui dengan kesan enam tikaman masing-masing di dada, rusuk dan belakang badan.

Difahamkan, kejadian dipercayai berpunca daripada pergaduhan antara mangsa dan suspek dan mereka juga dikatakan mabuk ketika itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Zainol Samah berkata, setakat ini sebelas suspek ditahan di rumah berhampiran lokasi kejadian dan mereka dipercayai cuba melarikan diri selepas kejadian itu.

“Seorang daripada suspek mengaku melakukan pembunuhan itu dan setakat ini punca kejadian dipercayai akibat perselisihan faham antara dia dan mangsa hingga berlaku pergaduhan dan mangsa ditikam.

“Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat,” katanya.

Difahamkan, mangsa dan rakan-rakannya tinggal di rumah terbabit kerana melakukan kerja-kerja ubahsuai di bangunan berhampiran.

Sementara itu, seorang lelaki enggan dikenali yang juga majikan mereka berkata, dia terkejut sebaik membuka pintu rumah terbabit apabila melihat mayat mangsa berlumuran darah di bahagian ruang tamu tingkat bawah.

“Sebaik terlihat mayat yang berlumuran darah itu saya terus menghubungi polis.

“Saya sendiri tidak tahu apa masalah yang dihadapi mereka hingga menyebabkan mangsa dibunuh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Disember 2018 @ 1:45 PM
LELAKI warga Myanmar, Maung Soe Than, 29, ditemui maut akibat ditikam rakan senegara selepas bergaduh di rumah dua tingkat di Jalan Siam, Georgetown. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal