YUNOS (kanan) bersama Mohd Kassim melihat kereta Perodua Myvi milik Allahyarham Muhammad Adib di Kampung Tebengau, Kuala Kedah, Alor Setar, hari ini. Foto AMRAN HAMID
Noorazura Abdul Rahman


“BANTUAN menyelesaikan baki pembiayaan kereta Allahyarham Muhammad Adib adalah bagi mengenang jasa beliau kepada masyarakat,” kata Ketua Eksekutif Bank Simpanan Nasional (BSN), Datuk Yunos Abd Ghani.

Yunos berkata, pihaknya bertanggungjawab melunaskan pembiayaan yang dibuat anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, kerana seluruh masyarakat menganggapnya sebagai wira negara.

“Muhammad Adib baru membeli kereta Perodua Myvi pada Oktober lalu. Jumlah pembiayaan itu kami tidak boleh dedahkan, tetapi kita akan batalkan nama beliau sebagai peminjam.

“Terserah kepada bapa arwah untuk menukar nama kenderaan itu kepada nama ahli keluarganya di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya selepas menziarah rumah keluarga Muhammad Adib di Kampung Tebengau, Kuala Kedah, Alor Setar, hari ini.

Dalam kunjungan itu, Yunos turut menyerahkan sumbangan kepada bapa arwah, Mohd Kassim Abdul Hamid, 63, bagi mengurangkan beban keluarganya.

Sementara itu, Mohd Kassim mengucapkan terima kasih kepada BSN kerana sudi menyelesaikan pembiayaan kereta dibeli Muhammad Adib sebagai persediaan mendirikan rumah tangga.

“Saya ucapkan terima kasih kepada BSN serta orang ramai yang memberi sumbangan kepada kami, sejak arwah meninggal dunia, orang ramai tidak putus-putus berkunjung ke rumah kami.

“Insya-Allah kami akan wakafkan sebahagian sumbangan yang diberikan atas nama Adib,” katanya.

Difahamkan, Allahyarham Mohammad Adib sempat membuat sekali bayaran ansuran kereta berkenaan selepas pembiayaannya diluluskan BSN.

Lagi berita berkaitan Allahyarham Muhammad Adib

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Disember 2018 @ 2:43 PM