STATUS yang dimuat naik di laman sosial mengenai kehilangan seorang kanak-kanak, semalam.
Izlaily Nurul Ain Hussein


POLIS menafikan berlaku kejadian culik seperti video tular di laman sosial sejak malam semalam, sebaliknya hanya membabitkan kes kanak-kanak hilang di sebuah pusat beli-belah di Johor Bahru.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, pihaknya juga mengesahkan kanak-kanak berkenaan sudah ditemui semula.

Beliau berkata, polis tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian culik itu.

“Berdasarkan rakaman video yang tular di laman sosial, semakan sudah dibuat dan polis mendapati kejadian itu hanya membabitkan seorang kanak-kanak yang hilang di sebuah kedai dalam pusat beli-belah berkenaan.

“Kes ini tidak benar (kanak-kanak dilarikan), kita juga tidak menerima sebarang laporan polis berhubung perkara ini.

“Cuma daripada semakan, kita dapati kanak-kanak itu hanya hilang dalam pusat beli-belah berkenaan dan sudah ditemui semula kira-kira 15 minit kemudian,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Taib menasihatkan orang ramai tidak mudah percaya serta menularkan berita yang tidak pasti kesahihannya.

Malam semalam, satu rakaman video berdurasi 51 saat tular di laman sosial memaparkan seorang lelaki dipercayai bapa kanak-kanak terbabit dalam keadaan panik mencari anaknya yang hilang.

Menerusi video itu, lelaki berkenaan turut meminta bantuan orang ramai dan meminta pengawal keselamatan pusat beli-belah itu menunjukkan semua rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk mengesan anaknya.

Kanak-kanak dipercayai berusia tiga tahun dan memakai topi merah ketika kejadian.

Bagaimanapun, kemaskini daripada pengguna laman sosial kemudian memaklumkan kanak-kanak itu sudah ditemui semula.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Disember 2018 @ 4:15 PM