ANGGOTA polis forensik menyoal Mohd Nurhuda yang menemui bayi di Kampung Chepir.
Zuliaty Zulkiffli
cnews@nstp.com.my


Sik: “Saya mengesyaki sesuatu apabila nampak ada gumpalan tuala atas bungkusan surat khabar di tepi jalan di selekoh berhampiran kebun getah lalu segera memeriksa dan melihat isi kandungannya.

“Namun saya terkejut apabila terdengar bunyi seperti kucing sebelum mendapati ada bayi yang berlumuran darah dan masih hidup dalam bungkusan tuala itu,” kata Mohd Nurhuda Abd Aziz, 18.

Mohd Nurhuda berkata, dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, dia dalam perjalanan untuk menghantar ibunya, Rahimah Yatim, 40-an untuk menoreh getah dengan menunggang motosikal dari rumah mereka di Kampung Chepir di sini.

Katanya, bayi itu menangis disebabkan dihurungi semut hitam yang penuh di seluruh badannya sehingga menyebabkan badannya kemerah-merahan.

“Saya dan emak kemudian membuang semut di atas badan bayi lelaki itu sebelum mengelap darah yang masih basah menggunakan tuala yang membalut badannya.

“Emak saya sebak melihat keadaan bayi itu yang sangat comel dan cukup sifat tetapi sampai hati ibunya sanggup membuangnya di kawasan kebun getah di Kampung Bunga ini kerana ia sunyi dari laluan orang ramai,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.


BAYI lelaki yang ditemui dibuang di Kampung Chepir.

Mohd Nurhuda berkata, dia kemudian memaklumkan kejadian itu kepada jururawat di Klinik Desa berhampiran untuk memeriksa keadaan bayi itu sebelum polis tiba tidak lama kemudian.

Katanya, bayi itu kemudian dibawa ke Hospital Sik untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Bayi itu mungkin baru diletakkan di situ kerana darah pun masih banyak manakala urinya masih melekat di badan.

“Mujur kami jumpa bayi ini kalau tidak mungkin dah jadi santapan binatang liar terutamanya anjing di kawasan ini pada waktu awal pagi,” katanya.

Tangisan bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan yang dibuang berdekatan jalan di Kampung Bunga Chepir menyelamatkannya daripada menjadi mangsa haiwan liar atau dilanggar kenderaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sik Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, bayi berkenaan ditemui oleh seorang peniaga yang kebetulan melalui jalan berkenaan untuk menuju ke dusunnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Disember 2018 @ 11:51 AM