LOKASI kejadian seorang wanita maut selepas bertengkar dengan rakan serumahnya di pangsapuri dekat Jalan Prima 3, Taman Kepong, Kepong, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO ihsan pembaca.


AKIBAT perselisihan faham antara dua rakan serumah, seorang daripada mereka maut selepas kepalanya terhantuk pada dinding di hadapan rumah sewa mereka di pangsapuri dekat Jalan Prima 3, Taman Kepong, Kepong, Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam kejadian 9.30 pagi itu, wanita berusia 65 tahun berkenaan dikatakan bertengkar dengan rakan serumahnya sebelum berlaku tolak-menolak di balkoni di hadapan rumah didiami mereka.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner C Shanmugamoorthy berkata, pihaknya menahan seorang wanita berusia 60 tahun yang juga suspek dalam kejadian itu bagi membantu siasatan.

“Pihak polis menerima maklumat kejadian dan apabila sampai, kami mendapati seorang wanita tidak sedarkan diri di kawasan anjung apartment berkenaan.

“Mangsa kemudiannya disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Selayang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati berlaku pertengkaran dan tolak-menolak antara suspek dengan mangsa.

Katanya, ketika pemeriksaan, polis mendapati kepala mangsa dalam keadaan berdarah dipercayai terjatuh dan terhantuk di dinding.

“Suspek yang juga seorang wanita berusia 60 tahun ditahan untuk membantu siasatan pihak polis.

“Suspek dan mangsa adalah rakan serumah yang menyewa bersama.

“Siasatan dijalankan mengikut Sekyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Disember 2018 @ 3:57 PM