LAHAD DATU 26 DISEMBER 2018. Sebahagian wanita yang ditahan dalam operasi bersepadu di sebuah pusat hiburan di Pusat Perniagaan I-Peak, Lahad Datu. NSTP/IHSAN POLIS.
Hazsyah Abdul Rahman


IBU kepada pelajar lelaki Tingkatan Empat hanya mampu menitiskan air mata sebaik dimaklumkan anaknya ditahan selepas disyaki positif dadah pusat hiburan di Pusat Perniagaan I-Peak di Lahad Datu, awal pagi semalam.

Dalam serbuan sempena Operasi Bersepadu Pusat Hiburan Hari Natal oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, pelajar berusia 16 tahun itu antara yang dicekup positif dadah bersama empat lagi individu lain.

Turut ditahan dalam operasi bermula 1.30 hingga 4 pagi itu ialah 24 individu disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan semua tangkapan berusia 16 hingga 35 tahun.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, ketika ditahan pelajar sekolah menengah itu hanya berdiam diri dan menyesal dengan perbuatannya.

“Kami difahamkan ibu bapa remaja itu tidak tahu dia ke pusat hiburan berkenaan. Ibu bapanya sudah dimaklumkan berhubung penahanan anak mereka dan sudah datang ke IPD Lahad Datu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nasri berkata, ibu bapa suspek menangis, marah dengan perbuatan anak mereka manakala pelajar itu yang direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 turut menyesal selepas bertemu kedua orang tuanya.

Dalam serbuan sama, katanya, seramai 24 pengunjung yang leka berdansa turut ditahan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, iaitu 20 lelaki dan empat wanita disyaki berasal dari Filipina serta Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Disember 2018 @ 4:01 PM