FOTO Hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


LELAKI dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini, atas pertuduhan mengugut mahu membunuh ibunya menggunakan sebilah pisau.

Tertuduh, Mohd Hasbullah Wahab, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Noradila Ab Latif.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengugut ibunya, Hindon Abdul Rahman, 60, di hadapan sebuah rumah di Manir, di Kuala Terengganu, jam 6.30 pagi, 19 Disember lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Zafirah Rosli, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Noradila membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 10 Januari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Disember 2018 @ 6:38 PM