PASUKAN Polis Marin menahan seorang lelaki tempatan kerana cuba seludup keluar barang kawalan di kawasan perairan Haji Kuning, Tawau. FOTO Ihsan PPM
Abdul Rahemang Taiming


PASUKAN Polis Marin (PPM) menahan lelaki tempatan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti penyeludupan barang kawalan di kawasan perairan Haji Kuning dekat Tawau, semalam.

Suspek berumur 20 tahun yang menaiki bot laju itu ditahan dalam operasi ‘Op Gelora’ di kawasan perairan itu pada 11.30 pagi.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, pemeriksaan ke atas bot laju itu menemui lima tong gas cecair petroleum (LPG) dipercayai cuba diseludup ke Indonesia.

“Suspek tidak memiliki sebarang dokumen atau kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk membawa keluar barang kawalan berkenaan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, suspek bersama barang rampasan termasuk bot laju dan enjin sangkut 40 kuasa kuda (hp) yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM27,950 dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Dalam kes berasingan, PPM menahan seorang lelaki Indonesia ketika cuba memasuki Tawau menggunakan bot laju jenis penambang bersama penumpang lain pada 2.30 petang.

Katanya, ketika pemeriksaan lelaki berumur 47 tahun itu gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.

“Lelaki itu ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Disember 2018 @ 9:38 AM