PEGIDAP penyakit hati kronik (biliary atresia) tahap tiga, Samantha James, sembilan bulan. FOTO Rafiqah Dahali
Rafiqah Dahali
cnews@nstp.com.my


“BAYI saya perlu menjalani pembedahan pemindahan hati secepat mungkin kerana keadaannya kini semakin kritikal.”

Demikian kata Stayce Louis, 39, ibu kepada Samantha James, bayi berusia sembilan bulan yang menghidap penyakit hati kronik (biliary atresia) tahap tiga.

Menurut Stayce, penyakit itu dikesan selepas anak bongsu daripada lapan beradik berkenaan menghidap penyakit kuning yang tinggi selepas dilahirkan dan ketika umurnya genap sebulan, pemeriksaan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah di Likas mengesahkan Samantha menghidap biliary atresia.

Stayce berkata, dia dan suami, James Joseph, 46, memilih Hospital Selayang sebagai tempat Samantha menjalani pembedahan pemindahan hati.

“Selepas menerima kaunseling, saya dan suami memutuskan pembedahan Samantha dibuat di Hospital Selayang. Saya juga telah menjalani pemeriksaan kesihatan dan akan menderma organ hati saya bagi pembedahan pemindahan hati untuk Samantha.

“Bagaimanapun, kami berdepan masalah kewangan memandangkan suami hanya berniaga kecil-kecilan manakala saya sudah berhenti kerja demi menjaga anak-anak.

“Kami memerlukan dana dan sumbangan bagi menampung kos biayai pembedahan yang diakui pihak hospital sendiri agak berisiko. Tarikh menjalani pembedahan pula akan dimaklumkan oleh pihak Hospital Selayang dalam waktu terdekat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Novoung, di Papar, baru-baru ini.

Stayce berkata, bayinya juga amat memerlukan mesin khas untuk minum susu formula khas.

“Bagaimanapun, kekangan kewangan menyebabkan kami hanya menyewa mesin terbabit selama lapan bulan dengan bayaran RM2,200 daripada pembekal.

“Harga mesin pula bernilai RM6,000 dan kami tidak mampu membelinya. Mesin itu perlu dihidupkan sepanjang 24 jam kerana susu perlu diperbaharui setiap tiga jam.

“Susu formula khas pula agak terhad bekalannya dan mahal. Pada masa sama, kami perlu mendapatkan berat ideal untuk Samantha sekurang-kurangnya lapan kilogram bagi melepasi berat badan sesuai untuk menjalani pembedahan,” katanya.

Mana-mana pihak yang ingin tampil memberi sumbangan boleh menghubungi Stayce di talian 016-8462342 atau James di talian 016-8461272.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Disember 2018 @ 11:03 AM