SAMLAN melihat buah-buahan untuk dijual turut musnah dalam kebakaran rumah didiaminya di Kampung Ketiau. FOTO Mohd Nazllie Zainul
Mohd Nazllie Zainul

SUDAHLAH sedih kehilangan tempat tinggal, suami isteri turut buntu apabila kelengkapan sekolah lima anak yang baru dibeli musnah bersama rumah sewa mereka dalam kebakaran di Kampung Ketiau, Putatan, malam tadi.

Antara kelengkapan sekolah yang musnah dalam kebakaran 8.20 malam itu adalah pakaian seragam sekolah, beg, kasut dan buku teks, selain dokumen penting juga tidak sempat diselamatkan.

Samlan Isah, 41, mengakui bapa mana tidak sedih melihat kelengkapan anak yang akan memulakan persekolahan bermula dari Tahun Satu hingga Tingkatan Satu musnah sekelip mata.

“Saya dan isteri bingung bagaimana anak akan memulakan persekolahan tanpa pakaian seragam dan kelengkapan lain kerana kami tinggal sehelai sepinggang.

“Kami berharap ada pihak sudi membantu terutama hal berkaitan anak kerana keperluan mereka lebih penting ketika ini,” katanya ketika ditemui di pekarangan rumah yang musnah, hari ini.

Samlan berkata, ketika kejadian dia dan isteri, Norsimah ibrahim, 33, berniaga di pasar malam Putatan, manakala empat anak berada di rumah dan dua lagi di rumah nenek serta ibu saudara.

“Ketika berniaga, saya tiba-tiba rasa susah hati memikirkan anak di rumah dan minta isteri hubungi mereka, namun ketika itu kami masih sibuk melayan pelanggan.

“Beberapa minit kemudian, isteri lihat ada panggilan tidak dijawab daripada anak di rumah dan apabila menelefon semula, baru kami tahu rumah terbakar.

“Anak ketiga beritahu bekalan elektrik tiba-tiba terputus dan apabila dia ke dapur untuk minum, dia lihat api sebelum segera selamatkan adiknya yang lain,” katanya yang bersyukur kerana semua anaknya selamat.

Rumah berkenaan turut disewa dua keluarga lain dan ketika kejadian mereka juga tiada di rumah.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, bomba menerima panggilan pada 8.24 malam sebelum menghantar dua jentera bersama 19 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Penampang serta Kota Kinabalu.

Katanya, turut musnah dalam kebakaran itu ialah Proton Wira namun tiada mangsa dilaporkan cedera.

Foto Mohd Nazllie Zainul (SA271218ZA020 - ZA024)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Disember 2018 @ 3:11 PM