ALLAHYARHAM Muhammad Adib Mohd Kassim. FOTO Arkib NSTP
Petah Wazzan Iskandar


KELUARGA anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, mahukan keadilan tanpa pilih kasih, sekiranya kerajaan mahu membuat inkues bagi menentukan sebab kematian anak kedua mereka.

Mohd Kassim Abdul Hamid, 63, berkata, Muhammad Adib sudah meninggal dunia dan hanya keadilan sahaja yang tinggal untuk anaknya itu.

“Jangan lindungi sesiapa yang bersalah. Pastikan kematian anak saya terbela.

“Inkues ini benda baik dan ia mampu memberi keadilan kepada Adib, malah kami sememangnya mahukan keadilan untuk Adib.

“Apabila ia dilaksanakan.. ia diharapkan dilakukan secara adil bagi mencari punca dan mereka yang bersalah,” katanya yang dihubungi NSTP hari ini.

NSTP melaporkan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa Peguam Negara akan mengarahkan Majistret untuk membuat inkues bagi menentukan sebab kematian Muhammad Adib

“Peguam Negara sudah memaklumkan kepada saya bahawa beliau selaku Pendakwa Raya dalam menjalankan kuasanya di bawah Seksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah akan mengarahkan Majistret untuk membuat siasatan (inkues) di bawah Bab XXXII Kanun yang sama bagi menentukan sebab kematian Allahyarham,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya parah selepas diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara (IJN), selepas 21 hari bertarung nyawa.

  • Lagi berita berkaitan Allahyarham Muhammad Adib
  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Disember 2018 @ 7:37 PM