STAYCE memangku Samantha.

Papar: “Bayi saya perlu menjalani pembedahan pemindahan hati secepat mungkin kerana keadaannya kini semakin kritikal,” kata Stayce Louis, 39, ibu kepada Samantha James, bayi berusia sembilan bulan menghidap penyakit hati (biliary atresia) kronik tahap tiga.

Menurut Stayce, penyakit itu dikesan selepas anak bongsu daripada lapan beradik berkenaan menghidap penyakit kuning tinggi selepas dilahirkan.

Katanya, ketika umur anaknya genap sebulan, pemeriksaan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah di Likas mengesahkan Samantha menghidap biliary atresia.

Stayce berkata, dia dan suami, James Joseph, 46, memilih Hospital Selayang sebagai tempat Samantha menjalani pembedahan pemindahan hati.

“Setelah menerima kaunseling, saya dan suami memutuskan pembedahan Samantha dibuat di Hospital Selayang. Saya juga menjalani pemeriksaan kesihatan dan akan menderma organ hati saya bagi pembedahan pemindahan hati untuk Samantha.

“Bagaimanapun, kami berdepan masalah kewangan memandangkan suami hanya berniaga kecil-kecilan manakala saya sudah berhenti kerja demi menjaga anak.

“Kami memerlukan dana dan sumbangan bagi menampung kos biayai pembedahan yang diakui pihak hospital sendiri agak berisiko. Tarikh menjalani pembedahan pula akan dimaklumkan oleh pihak Hospital Selayang dalam waktu terdekat,” katanya.

Stayce berkata, bayinya juga memerlukan mesin khas untuk minum susu formula khas.

“Bagaimanapun, kedudukan kewangan menyebabkan kami hanya menyewa mesin terbabit selama lapan bulan dengan bayaran RM2,200 daripada pembekal.

“Harga mesin pula RM6,000 dan kami tidak mampu membelinya. Mesin itu perlu dihidupkan 24 jam kerana susu perlu diperbaharui setiap tiga jam.

“Susu formula khas pula terhad bekalannya dan mahal. Pada masa sama, kami perlu mendapatkan berat ideal Samantha sekurang-kurangnya lapan kilogram bagi melepasi berat badan sesuai untuk menjalani pembedahan,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional milik Stayce Louis 1211029100005062 .

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Disember 2018 @ 11:00 AM