SOPIAH bersama anaknya, Mohd Saiful dan Muhamat Shahrul ketika ditemui di Kampung Gombak Batu 11. -Foto SADDAM YUSOFF
Mohamad Hussin


KUALA LUMPUR: “Kami sudah memohon pekerjaan di banyak tempat tetapi tidak diterima. Mungkin mereka memandang rendah keupayaan orang kurang upaya (OKU) seperti kami.

“Kalau boleh, kami hendak kerja tetap bagi menjamin masa depan. Sudah macam-macam perniagaan yang kami lakukan tetapi tidak bertahan lama,” kata Mohd Saiful Nizam Mat Tajuddin, 35, dan adiknya, Muhamat Shahrol Nizam, 31, yang masing-masing kudung kaki kanan selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya 18 tahun lalu.

Buat masa ini, hanya Mohd Saiful Nizam baru diterima bekerja sebagai atendan tempat meletak kereta sejak Oktober lalu dengan pendapatan RM1,000 sebulan manakala Muhamat Shahrol Nizam belum mendapat pekerjaan dan menjaga ibunya, Sofiah Sapiah Nasir, 67, yang menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Menceritakan kembali peristiwa hitam itu, Mohd Saiful Nizam berkata, ketika kejadian, dia dan adiknya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas pergi ke sebuah kedai jahit di Batu 12, Jalan Gombak kira-kira jam 1 tengah hari untuk mengambil pakaian seragam kadet askar Muhamat Shahrol Nizam untuk aktiviti sekolahnya.

“Masa itu saya berusia 17 tahun manakala Muhamat Shahrol Nizam berusia 14 tahun. Saya yang menunggang motosikal itu manakala adik membonceng.

“Setibanya di satu selekoh, motosikal yang ditunggang bertembung dengan sebuah bas menyebabkan kami melambung hingga tidak sedarkan diri. Sebaik sedar, kami sudah berada di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Kaki Muhamat Shahrol Nizam terpaksa dipotong selepas kejadian terbabit manakala kaki saya pula seminggu selepas itu.

“Doktor beritahu kaki kanan kami sudah hancur manakala jangkitan kuman sudah mula merebak dan perlu menjalani pembedahan segera bagi mengelak risiko kematian,” katanya yang ditemui di rumahnya di Batu 11, Jalan Gombak, di sini, semalam.

Mohd Saiful Nizam berkata, mereka dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi HKL dan mendapatkan rawatan selama dua bulan.

“Pada mulanya kami berasa malu untuk berjumpa saudara-mara dan kawan-kawan kerana sedar mengenai kekurangan diri apatah lagi kaki kanan kedua-duanya kudung hingga paha.

“Saya bersyukur kerana isteri, Nurul Syazrina Mohamad Nadzari sanggup menerima saya sebagai suami walaupun mengetahui saya OKU.

“Saya terpaksa menunjukkan kaki yang kudung kepadanya supaya dia percaya dan tidak menyesal selepas berkahwin.

“Alhamdulillah, selepas melayari bahtera perkahwinan sejak 2011, kami mempunyai tiga cahaya mata, Muhammad Hanif Hazwan, 10, Muhammad Arash Aliff, 7, dan Nurain Adawiyahtul Jannah, 5,” katanya.

Sementara itu, Muhamat Shahrol Nizam yang masih bujang berkata, dia berharap mana-mana pihak sudi mengambil mereka bekerja bagi meringankan penderitaan keluarganya.

“Kami sudah berniaga macam-macam, tetapi tidak bertahan lama kerana kekurangan modal. Kalau boleh, kami mahu pekerjaan tetap yang boleh menjamin masa depan kami,” katanya.

Mohd Saiful Nizam dan Muhamat Shahrol Nizam masing-masing anak kesembilan dan bongsu daripada 10 beradik ada menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan.

Selain itu, dua adik beradik terbabit berterima kasih kepada syarikat Kedidi Kaki Palsu yang memberikan bantuan kaki palsu bagi memudahkan pergerakan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Disember 2018 @ 11:14 AM