KPDNHEP Selangor akan menghantar sampel bahan petroleum yang diperoleh daripada stesen minyak Petronas Solaris di Lebuhraya Besraya kepada Jabatan Kimia untuk siasatan.
KPDNHEP Selangor akan menghantar sampel bahan petroleum yang diperoleh daripada stesen minyak Petronas Solaris di Lebuhraya Besraya kepada Jabatan Kimia untuk siasatan.
Teoh Pei Ying

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor akan menghantar sampel bahan petroleum yang diperoleh daripada stesen minyak Petronas Solaris di Lebuhraya Besraya kepada Jabatan Kimia untuk siasatan.

Ia susulan kira-kira 30 kenderaan yang tersadai dekat Kilometer 7, lebuh raya berkenaan selepas dipercayai mengisi petrol di stesen minyak berkenaan, pagi tadi.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri, Azman Adam berkata, proses itu sebagai prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan petroleum yang dijual di stesen terbabit menepati ciri-ciri petroleum yang sebenar tanpa sebarang campuran bahan lain seperti diesel dan air.

"Sampel ini akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk pengesahan.

"Kami menghantar pasukan ke stesen minyak berkenaan selepas mendapat berita tular pagi tadi. Ini tindakan awal kami dan pihak stesen minyak juga memberi kerjasama yang baik," katanya ketika ditemui di stesen minyak berkenaan, hari ini.

Azman berkata, ketika ini, stesen minyak berkenaan akan ditutup sementara waktu sehingga siasatan secara dalaman serta proses mengeluarkan minyak dalam tangki untuk proses pemulihan selesai dijalankan.

"Sehingga kini kami menerima 20 aduan dan tidak menolak kemungkinan lebih ramai mangsa akan tampil membuat aduan.

"Kami difahamkan pemilik stesen minyak berkenaan berada di luar negara ketika ini, dan dalam masa sama akan mengambil keterangan daripada pekerjanya," katanya.

Mengulas mengenai dakwaan yang tular bahawa petrol yang diisi ke dalam kenderaan itu tercampur dengan air, Azman berkata, ia masih belum dapat dipastikan.

"Tunggu laporan rasmi dari Jabatan Kimia terlebihdahulu. Kami akan hantar sampel ini secepat mungkin dan minta untuk disegerakan laporannya," katanya.

Berita berkaitan

  • Petronas mohon maaf/a>
  • Tersadai lepas isi minyak
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Disember 2018 @ 6:17 PM