ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran lori tangki bermuatan minyak sawit. FOTO ihsan Polis/Bomba
Nor Azizah Mokhtar

LORI tangki muatan minyak sawit terbakar di Kilometer 25.9 Lebuhraya Karak dari arah Bentong menyebabkan berlaku kesesakan trafik susulan penutupan satu daripada tiga lorong di laluan berkenaan, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari itu, lori yang dalam perjalanan ke arah ibu negara itu berhenti di lorong kecemasan selepas pemandunya menyedari bahagian belakang kenderaan dipandunya terbakar.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Gombak, Asisten Superintendan Shaharuddin Abdul Talib berkata, ketika kejadian, cuaca dalam keadaan baik dan lokasi kebakaran adalah laluan lurus menuruni bukit.

"Kebakaran menyebabkan trafik bergerak perlahan susulan penutupan lorong perlahan di lebuh raya berkenaan untuk kerja memadam kebakaran oleh pihak bomba.

"Pemandu terselamat dalam kejadian itu dan siasatan sedang dilakukan untuk mengenal pasti punca sebenar kebakaran," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Dalam pada itu, pihak bomba menghantar satu jentera bersama sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang untuk memadam kebakaran

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, kebakaran menyebabkan bahagian tayar belakang lori berkenaan musnah 50 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Disember 2018 @ 7:33 PM