GAMBAR yang dimuatnaik ke media sosial. FOTO Facebook Adam Mukhriz Mohd Muhayeddin
Rizanizam Abdul Hamid


RAKAMAN beberapa keping gambar dan video Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sedang bersenam dengan berpakaian kemeja, seluar panjang dan kasut sukan tular di media sosial, hari ini.

Sekeping gambar dan tiga rakaman video masing-masing berdurasi 16, 26 dan 30 saat itu dimuatnaik pemilik Facebook (FB) Adam Mukhriz Mohd Muhayeddin pagi tadi menerima pelbagai reaksi positif netizen.

Disertakan dengan status 'Big boss ni exercise pun nak pakai baju office... Rindu nak kerja la tu... Haha.. Almost one hour on threadmill!', ia itu turut dikongsi sebanyak 442 kali pengguna FB.

Video pertama menyaksikan Perdana Menteri yang mengenakan baju kemeja lengan panjang berwarna putih dan seluar panjang kelabu serta berkasut sukan sedang berjalan di atas 'treadmill' sambil dipantau seorang lelaki dipercayai jurulatih pusat kecergasan terbabit.

Pada video kedua dan ketiga pula memaparkan beliau sedang mengikuti arahan jurulatih berkenaan untuk melakukan senaman regangan otot.

Pengguna FB Wan Ruh Daud menulis; "Jadual Tun padat. TUN x mahu buang masa salin pakaian. tetap cr peluang bersenam walaupun sibuk. Tertarik dgn konsep gym open air nie.

Ary Omar pula mendoakan kesihatan Perdana Menteri dengan respon "Semoga diberi kesihatan dan kekuatan dgn izinNya. We love you Tun, keep strong"

Bukan sahaja tindakan Dr Mahathir yang bersahaja bersenam dengan pakaian pejabat mendapat pujian, bahkan jenis kasut sukan dipakai juga mencuri perhatian netizen.

Muhammad Zulhairi menulis: "Kasut apa tun pakai tu??" sebelum Joseph Lam membalas "ASICS GEL-Nimbus".

November lalu, Dr Mahathir menyarankan semua pejabat di sektor awam dan swasta berhenti seketika untuk membenarkan pekerjanya bersenam kira-kira 15 minit setiap hari.

Langkah itu, menurut Perdana Menteribagi memastikan pekerja berada dalam keadaan sihat dan cerdas selain mengamalkan gaya hidup sihat.

"Saya syorkan semua kegiatan pejabat kerajaan dan swasta berhenti seketika pada 11 pagi dan melakukan satu senaman mudah selama 15 minit.

"Kalau boleh keluar dari bilik pejabat yang berhawa dingin, ini adalah cara untuk kita cergaskan diri kita," katanya dipetik berkata.

Mei lalu, gambar Dr Mahathir mengenakan sepasang selipar Bata di majlis makan malam tular di media sosial.

Gambar itu dimuat naik ke Instastory pengguna Instagram dengan nama pengguna @azranshah.

Ia mendapat reaksi positif netizen yang kagum dengan sifat Perdana Menteri ketujuh itu yang merendah diri dan tidak mementingkan harga dalam memilih barangan untuk digunakan.

Hasil carian maklumat di Internet, reka bentuk selipar itu berjenama Bata telah berada di pasaran sejak 20 tahun lalu dan hanya berharga RM12.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Disember 2018 @ 8:38 PM