LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum dan memandang serius mengenai dakwaan layanan jururawat di sebuah hospitalnya seperti yang disebarkan melalui media sosial, baru-baru ini.

Ia susulan dakwaan seorang artis tempatan berkaitan layanan yang diberikan jururawat di sebuah wad Hospital Shah Alam, Selangor (HSAS) terhadap ibunya.

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, HSAS sudah mengadakan perjumpaan dengan pengadu dan seorang lagi ahli keluarganya secara tertutup pada jam 10.30 pagi tadi.

Katanya, ia turut disertai wakil pengurusan tertinggi hospital, wad dan pakar perubatan yang terbabit.

“Dalam pertemuan itu, pihak hospital sudah pun memberikan penjelasan dan jaminan bahawa siasatan lanjut akan dijalankan untuk mengenal pasti punca masalah.

“Kita mengambil maklum beberapa perkara yang dirasakan wajar bagi menambah baik mutu perkhidmatan di hospital,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor juga ingin mengingatkan masyarakat bahawa mengambil gambar atau video tanpa kebenaran di premis KKM adalah dilarang sama sekali.

“Begitu juga dengan kekerasan terhadap anggota kesihatan, sama ada kekerasan fizikal, lisan ataupun bertulis (termasuk di media sosial), iaitu selaras dengan Garis Panduan Mencegah dan Menangani Kekerasan Terhadap Anggota di Fasiliti KKM.

“Ini terutama memandangkan terdapat pelbagai saluran aduan yang boleh dibuat secara rasmi, dan ia akan diteliti dengan sewajarnya,” katanya.

Sementara itu, Dr Khalid berkata, pihak JKN Selangor juga memohon orang ramai tidak membuat andaian dan spekulasi bagi mengelakkan implikasi negatif kepada keluarga pesakit dan seterusnya kepada kakitangan hospital.

“Pihak JKN Selangor dan HSAS akan membuat susulan mengenai perkara ini dengan pihak pengadu dan jabatan berkaitan bagi mencari penyelesaian terbaik bagi kesejahteraan pesakit dan warga kerja KKM,” katanya.

Sebelum ini, NSTP melaporkan, artis Linda Rafar meluahkan rasa kecewa terhadap layanan buruk diberikan sekumpulan jururawat di sebuah hospital di Shah Alam tempat ibunya, Rasimah Abd Rahman, 73, dirawat.

Linda, 40, atau nama sebenarnya Azlinda Rafar berkata, permintaan untuk membantu menukar cadar ibunya yang terkena najis tidak diendahkan dari jam 3 pagi hingga 1.30 petang semalam.

Disebabkan itu, Linda mengambil keputusan dengan membuat aduan dan berjumpa Pengarah dan Timbalan Pengarah hospital berkenaan, hari ini.

Status yang dimuat naik Linda di Instagram Story semalam itu tular hingga mendapat pelbagai maklum balas pengikut.

Kebanyakan mereka berkongsi pengalaman dilalui membabitkan jururawat bertugas.

Dalam masa sama, Linda juga sudah membuat laporan polis di Bukit Aman berhubung ugutan diterima daripada seorang individu yang ingin meracun dan membunuh ibunya, jika tidak berhenti daripada menularkan isu berkenaan.

Berita berkaitan

'Bukan suruh cuci najis pun...'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Disember 2018 @ 10:20 PM