ANGGOTA polis membuat siasatan di rumah suspek di Kampung Jawa. FOTO Hazsyah Abdul Rahman
Hazsyah Abdul Rahman

LELAKI dipercayai warga asing mati ditembak selepas dilaporkan cuba menyerang anggota polis dengan senapang buatan sendiri jenis bakakuk di Kampung Jawa, Lahad Datu hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu melakukan serbuan ke rumah berkenaan untuk menjalankan pemeriksaan susulan maklumat berhubung pemilikan senjata api oleh suspek berusia 47 tahun terbabit.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor, berkata, polis mengepung kawasan rumah berkenaan yang terletak dalam kawasan hutan di kampung itu sebelum memperkenalkan diri sebagai polis dan meminta suspek memberi kerjasama dengan membuka pintu.

"Bagaimanapun, suspek enggan dan kami terpaksa memecah pintu rumah itu untuk masuk bagi membuat pemeriksaan. Selepas berjaya membuka pintu, suspek kelihatan kelihatan terkejut lalu mengacukan senapang jenis bakakuk ke arah anggota polis.

"Dalam keadaan demikian yang mengancam pasukan serbuan, polis terpaksa mempertahankan diri dan melepaskan tembakan ke arah suspek," katanya pada sidang media di IPD Lahad Datu, hari ini.

Nasri berkata, suspek disahkan mati di lokasi kejadian sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

"Polis merampas senjata api bakakuk dan peluru penabur serta parang disyaki milik suspek, selain menemui dokumen pengenalan dipercayai dari Filipina.

"Semua barang rampasan dibawa ke IPD Lahad Datu untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh, Seksyen 8 Akta Senjata (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Disember 2018 @ 11:31 PM