Wartawan NSTP

SRIKANDI BERSATU perlu memberikan fokus kepada pembangunan usahawan wanita bertaraf dunia agar sumbangan golongan itu terhadap ekonomi negara akan lebih signifikan.

Ketuanya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, wanita dan keusahawanan tidak kecil bilangannya di negara ini.

“Berapa ramai usahawan wanita di dalam Amanah Ikhtiar Malaysia dan dalam Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga ( TEKUN)? Berapa ramai usahawan wanita Melayu dalam senarai 100 terkaya di dunia?

“Wanita sinonim sebagai pengusaha kecil, maka hari ini SRIKANDI seharusnya berazam agar status ini bertukar menjadi wanita sinonim sebagai usahawan taraf dunia.

“Dengan kecanggihan teknologi Internet dan robotik, wanita sudah tidak perlu lagi berhijrah jauh ke bandar raya atau bandar untuk lahir sebagai usahawan taraf dunia," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan SRIKANDi kali pertama di PICC di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, pemasaran dalam talian dan perkhidmatan pos ekspres yang semakin cekap dan mudah memungkinkan usahawan wanita di kampung meningkatkan pendapatan dan meluaskan pasaran ke seluruh dunia.

“Adakah mustahil biskut tart nanas yang berharga RM35 sebekas dijual dengan harga AS$20 kepada pembeli di Amerika Syarikat? Adakah mustahil petai jeruk yang beharga RM30 sebotol kecil dijual ke Jepun dengan harga AS$30?

“Semuanya tidak mustahil, jika pemasaran yang tepat dilaksanakan ditambah pula dengan usahawan kecil diberikan latihan pemasaran dalam talian yang betul," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Disember 2018 @ 2:45 PM
RINA (tengah) di mesyuarat Agenda Perhimpunan Agung Tahunan Srikandi bersempena Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU. FOTO Eizairi Shamsudin