AZMIN Ali. FOTO arkib NSTP
Suzalina Halid


TIMBALAN Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali didesak menarik semula kenyataannya yang didakwa mencalar imej Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila mempertikaikan keputusan pelantikan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dibuat Presiden parti itu.

EXCO Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, Mohd Aizuddin Ariffin berkata, kenyataan dibuat Mohamed Azmin yang mendakwa pelantikan itu berlandaskan sogokan politik, imbuhan dan untuk meraih sokongan adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali.

“Justeru, saya memohon supaya Mohamed Azmin menarik balik kenyataan beliau kerana ia jelas mencalar imej Presiden parti, ” katanya kepada NSTP di Alor Setar, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan dibuat Mohamed Azmin yang menggesa Anwar menilai semula pelantikan jawatan utama kepimpinan parti yang diumumkan semalam.

Mohamed Azmin berkata, pelantikan itu tidak mencerminkan prinsip ‘perwakilan yang adil dan saksama’ terhadap aspirasi anggota parti.

Ia susulan pelantikan bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang tewas dalam pemilihan parti, November lalu sebagai Naib Presiden dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dipilih semula sebagai Setiausaha Agung.

Pada masa sama, Aizuddin yang juga Ketua AMK Alor Setar berkata, pemimpin dalam PKR seharusnya mengelak daripada menimbulkan polemik di saat rakyat menaruh harapan kepada pimpinan untuk memberi fokus terhadap isu ekonomi dan kemelut sara hidup yang kekal meruncing.

“Fokus kepada perkara isu yang mendasar serta mendepani rakyat dan bukannya mencipta polemik, ” katanya.

Berita berkaitan:

  • Anwar lantik pemecah belah PKR - Mohamed Azmin
  • Anwar lantik Rafizi Naib Presiden PKR
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Disember 2018 @ 5:19 PM