Wartawan NSTP


HARI ketiga Perhimpunan Agung Tahunan Kali Kedua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) 2018 dimulakan dengan pemeriksaan perbarisan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi BERSATU tiba pada 8.25 pagi.

Dr Mahathir yang berpakaian baju Melayu berwarna merah diiringi Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Naib Presiden BERSATU, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dan Setiausaha Agung BERSATU, Senator Datuk Marzuki Yahya ke pentas khas untuk menerima tabik hormat daripada komander perbarisan.

Selepas itu, Dr Mahathir membuat pemeriksaan barisan yang dianggotai 100 perwakilan sayap SRIKANDI dan ARMADA.

Majlis diakhiri dengan nyanyian lagu Negaraku dan nyanyian lagu BERSATU, Perjuangan Kita.

Selesai majlis itu, Dr Mahathir bergerak ke Dewan Plenary bagi menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan Kali Kedua BERSATU 2018.

Seramai 3,000 perwakilan daripada 135 bahagian di seluruh negara, termasuk wakil daripada 98 sayap Srikandi dan 115 ARMADA bersidang sepanjang tiga hari perhimpunan berakhir hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Disember 2018 @ 8:50 AM
PENGERUSI BERSATU Tun Dr Mahathir Mohamad memeriksa perbarisan sempena Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU kali ke-2 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). FOTO Ahmad Irham Mohd Noor