RINA berucap ketika Perhimpunan Agung Tahunan PPBM kali kedua. FOTO Asyraf Hamzah
Wartawan NSTP


UCAPAN penggulungan Ketua SRIKANDI Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Rina Mohd Harun hari ini diganggu oleh perwakilan yang dilihat tidak berpuas hati dengan pemimpin sayap wanita parti itu.

Sejumlah perwakilan mengganggu ucapan Rina beberapa kali, khususnya apabila Menteri Pembangunan Luar Bandar itu menyentuh isu jawatan ketua kampung menerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Difahamkan, ketika sesi perbahasan, beberapa perwakilan melahirkan kekecewaan kepada Rina kerana jawatan ketua kampung di negeri pembangkang seperti Perlis, Kelantan, Terengganu dan Pahang, diberikan kepada orang bukan Pakatan Harapan (PH), menyebabkan ahli BERSATU rasa terpinggir dan tidak dihargai.

Menjawab kekecewaan perwakilan itu, Rina menjelaskan pihaknya memutuskan untuk memansuhkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan menggantikannya kepada MPKK, kerana tidak mahu wujud situasi 'dua kampung dalam satu kampung.'

"Bukan kita tak bincang. Selepas kita umum MPKK ini, kita dapat pandangan daripada ketua pimpinan negeri. Kita bincang lagi supaya ada lima orang tambahan ahli MPKK yanh dibawa ke mesyuarat Kabinet.

"Selepas diluluskan Kabinet, ada pula yang kata janganlah diberi kepada PAS dan bukan PH.

"Saya terima pandangan semua pihak dan kita akan cuba dari masa ke masa untuk tambah baik pengurusan MPKK," katanya dalam ucapan penggulungan Ketua SRIKANDI BERSATU pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) BERSATU di Putrajaya, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Disember 2018 @ 5:54 PM