GAMBAR hiasan.
Hadzlihady Hassan


BUDAK perempuan melecur selepas disiram air panas oleh bapanya sendiri selepas dia dituduh mencuri wang RM10 milik ibunya dalam kejadian di Flat Kampung Melayu, Air Itam, Georgetown, Khamis lalu.

Dalam kejadian 9 malam itu, mangsa yang berusia lapan tahun melecur di lengan, rusuk dan dada kanan, namun keadaannya dilaporkan stabil.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, kejadian itu disedari seorang jiran yang kemudian membawa mangsa ke balai polis untuk membuat laporan.

“Kanak-kanak perempuan itu kemudian dibawa ke Hospital Pulau Pinang dan menerima rawatan di Wad C2 yang menempatkan pesakit yang mengalami kesan terbakar.

“Keadaannya stabil dan masih boleh berkomunikasi, namun kami menunggu mangsa pulih sepenuhnya untuk diambil keterangan,” katanya.

Menurutnya, siasatan polis mendapati mangsa adalah anak kedua daripada empat beradik dan jiran terbabit mendakwa semua kanak-kanak itu sering diabaikan ibu bapa mereka.

“Setakat ini, kami mendapati bapa mangsa yang berusia 41 tahun dan ibunya sudah melarikan diri.

“Siasatan awal mendapati mangsa disiram air panas oleh bapanya yang berang kerana dia dikatakan mencuri wang RM10 milik ibunya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Disember 2018 @ 2:06 AM