SEBAHAGIAN daripada 13 set peralatan bubu naga yang dirampas oleh amm dalam serbuan di perairan Tanjung Dawai. FOTO Ihsan APMM
Zuliaty Zulkiffli


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kedah berjaya merampas 13 set peralatan bubu naga yang dipasang individu tidak bertanggungjawab di kawasan perairan berdekatan Tanjung Dawai, Kuala Muda, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faisal Ahmad berkata, hasil rondaan di kawasan perairan itu menemui 13 set peralatan bubu naga yang masing-masing berukuran 10 meter panjang.

Beliau berkata, bubu naga itu dipasang di beberapa lokasi yang menjadi lubuk tangkapan ikan yang turut menjadi tumpuan nelayan tempatan.

“Pejabat Jabatan Perikanan Kuala Kedah sebelum ini ada memaklumkan bahawa pihaknya tidak mengeluarkan sebarang lesen penggunaan peralatan bubu naga di perairan negeri ini.

“Penggunaan bubu naga diharamkan kerana boleh menjejaskan sumber perikanan lain selain sebarang bubu yang dipasang tidak boleh berangkai atau bersambung,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mahmad Faizal berkata, kesemua peralatan yang dirampas itu dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk disiasat mengikut Seksyen 8(a), Seksyen 10 (2) dan Seksyen 29 Akta Perikanan 1985.

Beliau berkata, kejayaan dalam beberapa operasi terbaru ini adalah hasil kerjasama antara komuniti nelayan dan pihak APMM.

“Perjumpaan dan sesi dialog antara pihak kami bersama nelayan setempat yang akan sentiasa diteruskan.

“APMM Kuala Kedah turut mewujudkan kampung angkat untuk mengeratkan persefahaman bersama nelayan bagi bekerjasama menangani isu perlanggaran peraturan perikanan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti menyalahi peraturan boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Disember 2018 @ 12:01 PM