Syalikha Sazili dan Ain Radhi


BERMULA 2 Januari ini, perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya akan berpatah balik secara berselang bagi melancarkan perjalanan tren pada waktu puncak.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd, Khairani Mohamed berkata, tren dari Gombak menghala ke Putra Heights akan membuat pusingan semula pada stesen LRT Ara Damansara bermula 7 pagi hingga 9 pagi.

Katanya pertukaran tren di LRT Ara Damansara itu bagi memendekkan waktu menunggu sekali gus penumpang tidak perlu bersesak pada waktu puncak.

“Ini adalah perancangan baru kami untuk tahun depan dalam usaha mengatasi kesesakan penumpang di laluan Kelana Jaya.

“Operasi ‘double loop’ ini akan bermula pada 7.30 pagi iaitu penumpang hanya perlu menunggu gerabak tren yang ketiga.

“Ini bermakna, laluan biasa dari Gombak ke Putra Heights dikekalkan, hanya tujuh tren yang akan membuat pusingan semula di stesen Ara Damansara,” katanya pada sesi penerangan Pelan Operasi Laluan Kelana Jaya 2019, Subang, hari ini.

Selain itu, Khairani juga berkata, jika sebelum ini jarak dari satu tren dengan tren yang baru mengambil masa 2.9 minit, menerusi operasi double loop ini dipendekkan kepada 90 saat saja.

“Kita dapati stesen yang menerima penumpang paling tinggi seperti dari Kelana Jaya ke Universiti dan Gombak serta Damai.

“Keadaan akan menjadi terlalu padat dan sesak di stesen Masjid Jamek, Pasar Seni dan KL Sentral sekali gus menyebabkan penumpang terpaksa menunggu tren seterusnya.

“Justeru menerusi operasi baru ini kekerapan tren akan meningkat, kapasiti juga akan turut bertambah,” katanya.

Notis pemberitahuan mengenai operasi ini akan dipamerkan di dalam tren selain terdapat kakitangan LRT yang akan membantu penumpang.

Dalam perkembangan lain, pas perjalanan tanpa had My100 dan My50 sudah terjual lebih 20,000 unit.

Khairani berkata, pengguna pengangkutan awam melebihi 46,000 orang, justeru pihaknya menjangkakan penjualan lebih tinggi selepas tamat cuti sekolah ini.

“Bermula pada tahun depan kami menjangkakan lebih ramai akan membeli pas ini kerana ia cukup menjimatkan.

“Majoriti pengguna membeli My100 dan orang ramai yang berminat untuk mendapatkan pas ini boleh dapatkan di 115 stesen kami,” katanya.

Dalam Belanjawan 2019, kerajaan memperkenalkan pas bulanan bernilai RM100 tanpa had perjalanan meliputi perkhidmatan rel dan bas RapidKL mulai 1 Januari 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Disember 2018 @ 1:29 PM