ANGGOTA bomba dan Penyelamat mengeluarkan mangsa kemalangan lori membawa muatan ais selepas terbabas masuk ke dalam gaung sedalam lima meter dalam kejadian di Jalan Hutan Lipur Lenggeng, Mantin. FOTO Ihsan Bomba
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@nstp.com.my


PEMANDU dan kelindan lori membawa muatan ais cedera selepas kenderaan dinaiki terbabas ke dalam gaung sedalam lima meter di Jalan Hutan Lipur Lenggeng, Mantin dekat Nilai, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, pemandu lori berusia 31 tahun cedera manakala kelindan warga Myanmar berusia 18, patah kaki kiri.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Mantin, Mohd Hidayat Basly berkata, seramai 15 pegawai dan anggota termasuk bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan.

“Sebaik tiba, kedua-dua mangsa masih terperangkap di dalam lori dan anggota terpaksa menuruni gaung bagi menyelamatkan mangsa.

“Bomba mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan mangsa dan seorang mangsa yang patah kaki dibawa naik ke atas dengan menggunakan alat pengusung,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada ambulans dan dibawa ke Klinik Kesihatan Lenggeng untuk rawatan lanjut.

Katanya, ketika kejadian pemandu dipercayai dari Pantai ke Lenggeng untuk menghantar bekalan ais.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Disember 2018 @ 1:47 PM