SUSPEK kes samun dan rogol dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut. FOTO Mohd Rizal Abdullah
Mohd Rizal Abdullah


LELAKI dipercayai terbabit dalam kes samun dan rogol sebelum ini ditahan polis di hadapan kedai serbaneka di Taman Tunku, Miri, semalam.

Suspek berusia lingkungan 30-an ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Miri pada 4.30 petang selepas risikan sejak beberapa hari lalu.

Menurut sumber, suspek dipercayai terbabit dalam kes samun dan rogol wanita berusia 24 tahun di bilik sewa di Miri, 22 Disember lalu.

Sumber berkata, suspek kemudiannya dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.

"Polis turut merampas sehelai baju dipercayai digunakan suspek ketika kejadian," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Sebelum ini, mangsa mendakwa bilik sewanya diceroboh kira-kira 3 pagi oleh seorang lelaki tidak dikenali ketika sedang tidur sebelum dirogol dan pelbagai barangan berharga dilarikan.

"Mangsa yang ketakutan hanya mendiamkan diri apabila suspek mengancam untuk mencederakannnya menggunakan senjata tajam sekiranya menjerit," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Lim Meng Seah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata, siasatan lanjut masih dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Disember 2018 @ 9:07 PM