MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik (dua dari kanan) beramah mesra bersama murid-murid ketika menghadiri lawatan sempena hari pertama sesi persekolahan 2019 di Sekolah Kebangsaan Ledang, Tangkak. FOTO Adi Safri
Mohd Fahmi Mohd Yusof


SERAMAI 55,218 murid Tahun Satu memulakan sesi persekolahan tahun ini membabitkan 685 Sekolah Kebangsaan (SK) di seluruh Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Aminolhuda Hassan berkata, pada masa sama pihaknya menjangkakan seramai 21,500 kanak-kanak akan mula memasuki prasekolah.

Katanya, secara keseluruhannya sesi persekolahan tahun ini menyaksikan kesemua 580,000 murid dan pelajar serta 50,000 guru akan kembali melalui proses pembelajaran dan pengajaran di 1,187 sekolah di dalam Johor.

“Pada tahun ini, Jabatan Pendidikan negeri (JPN) akan menguruskan operasi 907 SK, 280 Sekolah Menengah (SM) dan 11 Pejabat Pendidikan Daerah.

“Tidak ada sekolah baharu yang memulakan operasinya pada hari ini, bagaimanapun, dijangka sebanyak enam sekolah akan dibuka sepanjang tahun ini iaitu lima SM dan sebuah SK.

“Semua institusi pendidikan ini diuruskan operasinya bagi memenuhi keperluan pendidikan kepada lebih kurang 327,000 murid SK dan 250,000 pelajar SM,” katanya dalam satu kenyataan di Johor Bahru, hari ini.

Aminolhuda berkata, bagi tujuan meringankan beban perbelanjaan persekolahan pada awal tahun yang ditanggung oleh ibu bapa atau penjaga murid, Bantuan Awal Persekolahan (BAP) akan diteruskan pelaksanaannya pada tahun ini.

“Bantuan berjumlah RM100 seorang murid akan diteruskan kepada murid Tahun Satu hingga Tingkatan Lima yang berasal dari kalangan isi rumah berpendapatan kasar RM3,000 dan ke bawah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 January 2019 @ 11:50 AM