GAMBAR hiasan
Nur Saliawati Salberi


SEORANG lelaki bukan saja ‘kempunan’ untuk membelanjakan hasil jenayah ragutnya malah terpaksa menahan kesakitan selepas dibelasah orang awam di Jalan Bunga Raya Pantai, Melaka, malam tadi.

Lelaki berusia 39 tahun itu dicekup orang awam pada 11.40 malam ketika cuba melarikan diri dengan menunggang motosikal selepas meragut beg tangan pelanggan restoran berhampiran.

Difahamkan, lelaki berkenaan juga sebelum ini terbabit dengan kejadian ragut di hadapan sebuah hotel dan video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) insiden itu turut tular di laman sosial.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, sebelum kejadian mangsa yang berusia 42 tahun bersama suami menjamu selera di restoran sebelum didatangi lelaki yang kemudian melarikan beg tangan mangsa.

Beliau berkata, menyedari beg tangan milik isterinya dilarikan, suami mangsa kemudian mengejar lelaki terbabit namun tidak berjaya.

“Bagaimanapun orang awam yang kebetulan berada di lokasi berhampiran menyedari kejadian itu kemudian cuba mengejar sebelum suspek berjaya ditangkap.

“Polis kemudian dimaklumkan mengenai kejadian sebelum tiba di lokasi lima minit kemudian dan membawanya ke balai,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Afzanizar berkata, berikutan tertangkapnya lelaki itu, semua barangan milik mangsa dikembalikan dan tiada kehilangan direkodkan.

“Lelaki itu juga disyaki terbabit dalam kejadian ragut sebelum ini. Bagaimanapun siasatan sedang dijalankan.

“Suspek terbabit kini direman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 392/395 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 January 2019 @ 3:12 PM