Shaarani Ismail
shaarani@nstp.com.my


LELAKI dihadapkan ke Mahkamah Majistret Parit hari ini atas tiga tuduhan menghalang dan mengaibkan dua anggota polis di Balai Polis Parit, kelmarin.

K Panner Selvam, 36, yang juga pekerja ladang mengaku tidak bersalah terhadap semua tuduhan itu yang didakwa dilakukan pada 12.30 tengah malam.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa dengan sengaja menghalang Koperal Khairul Hafizze Madan daripada menjalankan tugas dengan membuat provokasi meninggikan suara dan enggan bekerjasama apabila diarahkan untuk mengalihkan kenderaan di luar balai polis berkenaan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja menghalang tugas Lans Koperal Mohd Zaharil Mustafa dengan cara menyimbah air kepadanya bagi tujuan provokasi.

Untuk kedua-dua pertuduhan, Panner Selvam didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh pada masa dan lokasi sama didakwa melakukan kelakuan tidak senonoh dengan mengaib dan memaki hamun polis dan dituduh mengikut Seksyen 90, Akta Polis 1967.


TERTUDUH, K Panner Selvam, 36, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan menghalang dan mengaibkan dua anggota polis ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Parit. FOTO Effendy Rashid

Sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara maksimum enam bulan atau boleh dikenakan denda sehingga RM500 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Farhana Hashim di hadapan Majistret Mohd Fitri Sadaruddin manakala tertuduh diwakili peguam Sukhdave Singh dan Keshvinder Singh.

Mahkamah membenarkan jaminan RM3,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Januari ini untuk kes itu disebut semula bagi membolehkan serahan dokumen dilakukan.

Terdahulu, Nor Farhana tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh, bagaimanapun peguam memohon supaya mahkamah membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM2,000 kerana tujuan jaminan adalah untuk memastikan tertuduh hadir ke mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 January 2019 @ 11:54 AM