Nur Izzati Mohamad
cnews@nstp.com.my


HANYA kerana lambat membancuh air minuman, tukang besi tergamak memukul kepala isterinya dengan seterika dalam kejadian di rumah dekat Taman Kerapu, Butterworth, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, mangsa berusia 26 tahun membuat laporan polis selepas mendakwa suaminya berusia 43 tahun memukulnya dengan menggunakan seterika di rumah mereka.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, suspek berang terhadap isterinya yang sibuk membuat kerja rumah hingga lambat membancuh minuman untuknya.

“Oleh disebabkan menunggu terlalu lama, suspek tiba-tiba mengambil seterika baju dan terus memukul isterinya hingga menyebabkan kecederaan di kepala.

“Tidak tahan dengan kejadian itu, isterinya datang membuat laporan polis dan memaklumkan kejadian itu bukan kali pertama yang mana mereka berdua sering bergaduh akibat masalah tekanan hidup,” katanya dalam kenyataan, di Butterworth, hari ini.

Noorzainy berkata, susulan laporan daripada mangsa, anggota polis yang menjalankan tugas rondaan jenayah di kawasan itu bertindak menahan suaminya, 8.40 malam tadi.

“Polis turut merampas seterika yang digunakan suspek untuk memukul isterinya.

“Siasatan mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan ujian saringan air kencing juga mendapati dia positif dadah,” katanya.

Jelasnya, suspek dan isterinya sudah berkahwin sejak lima tahun lalu dan dikurniakan dua orang anak.

Noorzainy berkata, kecederaan yang dialami isterinya hanya calar di bahagian belakang kepala dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

“Suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 January 2019 @ 2:36 PM